Friday, 20 April 2012

MB Perlis: Pengambilan tanah MADA tidak jejas pengeluaran padi


KANGAR -- Pengambilan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis bagi maksud pembangunan tidak akan menjejaskan pengeluaran padi, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau berkata MADA kini sedang berusaha memperkasakan pengeluaran padi temasuk membesarkan saiz estetnya bagi menampung keperluan beras negara.

"Hanya tiga peratus tanah dalam kawasan MADA terbabit dengan projek pembangunan pada masa ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insentif projek estet padi MADA Wilayah Perlis musim 1/2012 di Guar Sanji dekat sini hari ini.

Bagaimanapun bagi memastikan pengambilan tanah untuk maksud pembangunan itu tidak menjejaskan pengeluaran padi, MADA sedang meningkatkan infrastruktur pengairannya selain menjadikan 1,300 hektar kawasan pinggir MADA  sebagai kawasan kendaliannya.

Kawasan terbabit ialah Wang Ulu, Kubang Gajah dan Padang Telela yang membabitkan 600 orang pesawah.
  
Menurutnya MADA juga meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi di kawasan estet padi daripada 5.7 tan metrik sehektar kepada 8 tan metrik sehektar menjelang 2020.

Pada masa ini, MADA mengendalikan kawasan seluas 18,878 hektar kawasan penanaman padi di Perlis termasuk lebih 1,000 hektar yang terbabit dengan projek estet padi.

Md Isa berkata MADA telah meletakkan unjuran untuk membesarkan saiz estet padi kepada 12,250 hektar menjelang 2020.

"MADA akan memastikan pengeluaran padi terus meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk Perlis yang dijangka meningkat kepada 450,000 menjelang 38 tahun lagi," katanya. Pada masa ini penduduk Perlis berjumlah kira-kira 250,000 orang. 

Sementara itu, sebanyak RM1.052 juta dikeluarkan kepada para peladang sebagai insentif projek estet padi MADA Wilayah Perlis musim ini yang disampaikan Menteri Besar Perlis.

No comments:

Post a Comment