Sunday, 1 April 2012

Masalah banjir di sekitar Perlis


KANGAR, 3 Nov 2011 -- Jangkaan banjir besar di utara Semenanjung bulan ini beserta keadaan hujan sekarang menimbulkan keresahan pada kebanyakan rakyat di negeri ini yang masih trauma dengan bah besar tahun lepas dan Mac lalu.
Rata-rata mangsa banjir pada November dan Mac lepas menyatakan rasa bimbang lantaran bencana lalu menyebabkan mereka menanggung kerugian puluhan ribu ringgit akibat kerosakan harta benda dan kemusnahan tanaman.

"Saya bagaikan tak sanggup lagi berpindah jika banjir datang lagi. Banyak barang yang tak dapat diselamatkan semasa banjir," kata Abdul Halim Ismail, 35, dari Kampung Tok Kuning, dekat sini.

Beliau juga mengharapkan jangkaan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo bahawa Perlis antara negeri yang akan menerima gelombang besar akibat peralihan monsun timur laut, tidak tepat.

Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara di universiti itu antara lain dilapor berkata turut menerima kesan berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, timur Sarawak dan Sabah.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan negeri di sebelah utara Semenanjung akan mengalami banjir lebih buruk berbanding 2010, susulan hujan lebat dalam tempoh dua bulan ini.

Seorang petani, Kassim Ahmad, 58 dari Abi turut meluahkan harapan ramalan banjir besar tersebut tidak menjadi kenyataan, selepas mengalami kerugian besar pada kejadian lepas yang menenggelamkan sawah padinya.

Perkara serupa turut dikongsi penanam sayur, Ku Ibrahim Ku Ali, 48, di Beseri yang masih mengingati kepayahannya selepas kebun sayur beliau musnah akibat banjir.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu baru-baru ini menegaskan kerajaan negeri akan cuba mengurangkan kesan banjir dengan membaiki sistem pengairan di Perlis.

Katanya kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan RM40 juta dari kerajaan pusat bagi melaksanakan kerja mendalam, melebar dan membersihkan sungai, parit serta longkang bagi memudahkan aliran air jika berlaku hujan.

Tinjauan Bernama mendapati kerja mendalam dan membersih sungai sedang dilakukan,terutama di sungai-sungai yang bersambung dengan Sungai Perlis bagi melancarkan aliran air ke laut.






KANGAR, MARCH 2012-Bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda Perlis, tiga projek tebatan banjir akan disiapkan menjelang 2014, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata projek itu ialah menaik taraf Sungai Arau, yang dilaksanakan bulan ini, menaik taraf empangan Timah Tasoh serta pembinaan lencongan barat bagi mengalirkan air empangan berkenaan ke Sungai Perlis dan terus ke laut.

“Kalau projek ini berjaya, adalah dianggarkan lebih 100,000 penduduk Perlis yang sebelum ini sering menerima bencana banjir semasa musim hujan, tidak lagi akan menghadapi masalah sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek itu daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Nishad Mohamed Mohd Shaffy di Empangan Timah Tasoh semalam.

Joseph, yang diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, kemudian melawat sekitar empangan itu sebelum ke Gua Kelam di Kaki Bukit.

Terdahulu, beliau dibawa meninjau Sungai Perlis yang memainkan peranan penting menerima limpahan air dari empangan sebelum mengalirkannya ke laut.

No comments:

Post a Comment